Mahkamah: Gereja Boleh Menggunakan Kalimah Allah

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan perintah Perintah Certiorari untuk membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang melarang Herald – The Catholic Weekly untuk menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mereka, sementara menunggu penetapan pengadilan Mahkamah tentang masalah itu.

Mahkamah juga membuat enam perintah:

  1. Keputusan Kerajaan melarang Herald – The Catholic Weekly untuk menggunakan kalimah Allah adalah tidak sah dan batal.
  2. Mengikut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, Herald mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah.
  3. Perkara 3 (1) menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi tetapi Kerajaan tidak boleh melarang Herald menggunakan kalimah Allah.
  4. Di bawah Perkara 10, The Herald mempunyai hak perlembagaan untuk kebebasan bercakap dan bersuara untuk menggunakan kalimah Allah.
  5. Di bawah Perkara 11, Herald mempunyai hak perlembagaan untuk kebebasan beragama dan boleh menggunakan kalimah Allah.
  6. Mengikut Perkara 11 dan 12, Herald mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah bagi tujuan pengajaran dan pendidikan jemaat Katolik dalam agama Kristian.

Latar belakang kes

Uskup Agung Titular Katolik di Kuala Lumpur yang merupakan penerbit Mingguan Katolik Herald tidak puas hati dengan permit penerbitan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan untuk tahun 2009, yang melarang mereka daripada menggunakan kalimah “Allah” di dalam edisi Bahasa Melayu Mingguan tersebut. Uskup Agung kemudiannya membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi untuk (judicial review) mengkaji-ulang keputusan tersebut dan memohon satu pernyataan perlepasan.

Penghakiman

Yang Arif Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam penghakiman bertulisnya setebal 59 halaman (31 Dis 2009) menyatakan bahawa pernyataan Peguam Kanan Persekutuan tentang perkara §13a dari Akta Mesin Cetak dan Percetakan 1984, yang mengatakan keputusan Menteri “adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah atas alasan apa pun” adalah satu persalahfahaman.

Saya berpandangan bahawa hal itu tidak berlaku untuk pengenaan syarat-syarat, lebih-lebih lagi bila syarat-syarat tersebut bersangkutan dengan perkara-perkara Perlembagaan. Dalam hal ini, saya bersetuju dengan En (Porres) Royan, (peguam utama untuk Herald), sebarang peruntukan yang menghadkan hak perlembagaan harus ditafsirkan secara ketat. Ada banyak pihak berkuasa yang menunjukkan bahawa pertimbangan penghakiman tidak diketepikan untuk memperbaiki kesalahan perundangan oleh badan pentadbiran atau tribunal.

Ketidaksahan (Pengharaman)

Mingguan Herald mendakwa Menteri tersebut telah gagal mengambil kira satu atau lebih pertimbangan-pertimbangan yang relevan (yang dihasilkan oleh Uskup Agung) yang telah saya terbitkan di bawah ini kerana ianya berkait-rapat dengan masalah yang sedang dibicarakan:

  1. Kalimah “Allah” adalah perkataan Bahasa Malaysia yang benar untuk “God” dan di dalam Alkitab terjemahan Bahasa Malaysia, “God” diterjemahkan sebagai “Allah” dan “Lord” diterjemahkan sebagai “Tuhan”
  2. Selama 15 abad, umat Kristian dan Muslim di negara-negara berbahasa Arab telah menggunakan kalimah “Allah” untuk merujuk pada Tuhan Yang Esa. Gereja Katolik di Malaysia dan Indonesia dan majoriti besar dari denominasi Kristian yang lain memegang teguh bahawa “Allah” adalah perkataan yang sah untuk “God” dalam Bahasa Malaysia
  3. Selama beberapa abad Bahasa Melayu telah menjadi lingua franca untuk banyak penganut-penganut Katolik terutamanya mereka yang tinggal di Melaka dan Pulau Pinang. Keturunan mereka di Semenanjung Malaysia telah mengamalkan satu budaya bertutur dan berdoa dalam Bahasa Melayu
  4. Kalimah “God” telah diterjemahkan sebagai “Allah” dalam “Istilah Agama Kristian Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia” yang pertama kali diterbitkan oleh Konferensi Uskup-uskup Katolik di Malaysia pada tahun 1989
  5. Kamus Bahasa Melayu-Latin yang diterbitkan pada tahun 1631 telah menterjemahkan “Deus” (Perkataan Latin untuk God) sebagai “Alla” dalam penterjemahan Bahasa Melayu mereka.
  6. Kalimah “Allah” telah digunakan oleh orang Kristian di Alkitab Bahasa Arab yang lama dan Alkitab Bahasa Arab moden jauh sebelum kedatangan Islam. Ianya telah digunakan orang Kristian di Mesir, Lubnan, Irak, Indonesia, Malaysia, Brunei dan tempat-tempat lain di Asia, Afrika, dll;
  7. Dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia, kalimah “Allah” telah digunakan secara berterusan dalam edisi cetak Injil Matius di Malaysia pada tahun 1629, Alkitab Bahasa Melayu edisi yang pertama pada tahun 1733, dan Alkitab edisi kedua Alkitab pada tahun 1879 sehinggalah ke Perjanjian Baru dan Alkitab pada hari ini.
  8. Munshi Abdullah yang dianggap sebagai Bapa Sastera Moden Bahasa Melayu telah menterjemah Injil ke dalam Bahasa Melayu pada tahun 1852 dan ia menterjemah perkataan “God” sebagai “Allah”
  9. Sudah ada Alkitab yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebelum 1957 yang dilakukan oleh British and Foreign Bible Society di mana kalimah “Allah” telah digunakan
  10. Ada juga sebuah Buku Doa yang diterbitkan di Singapura pada 3.1.1905 di mana kalimah “Allah” digunakan
  11. Ada juga sebuah penerbitan berjudul ” An Abridgment of the Christian Doctrine” (Sebuah Singkatan Doktrin Kristian) yang diterbitkan pada tahun 1895 di mana kalimah “Allah” digunakan
  12. Satu lagi penerbitan yang berjudul “Hikajat Elkaniset” diterbitkan pada tahun 1874 yang juga mengandungi kalimah “Allah”
  13. Terjemahan Alkitab dalam Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia yang merupakan Kitab Suci orang Kristian, telah digunakan oleh penduduk asli beragama Kristian di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk beberapa generasi
  14. Pribumi Kristian yang berbahasa Malaysia di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah, dari dahulu lagi dan secara berterusan telah mengunakan kalimah “Allah” untuk bebebrapa generasi; dan kalimah “Allah” digunakan dalam terjemahan Alkitab dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia yang digunakan di seluruh Malaysia
  15. Sekurang-kurangnya sudah tiga dekad jemaat Katolik telah menggunakan Alkitab dengan bebas, di mana kalimah “Allah” digunakan dalam Alkitab terjemahan Bahasa Indonesia.
  16. The Herald adalah mingguan Katolik seperti yang dinyatakan di bahagian muka mingguan tersebut, dan dimaksudkan untuk penyebaran berita serta maklumat mengenai Gereja Katolik di Malaysia dan di tempat lain, dan tidak untuk dijual ataupun diedar di luar Gereja
  17. The Herald tidak diterbit bagi masyarakat umum dan khususnya kepada orang-orang yang beragama Islam
  18. The Herald tidak mengandungi sesuatu yang berkemungkinan besar akan menganggu ketenteraman awam dan/atau menyentuh kepekaan agama Islam. Selama empat belas tahun penerbitannya, tidak pernah ada sebarang kejadian yang timbul daripada penggunaan kalimah “Allah” di The Herald
  19. Setiap kali kalimah “Allah” digunakan oleh orang Kristian di semua negara di mana Bahasa Arab digunakan dan dalam Bahasa Indonesia/Melayu, tidak pernah timbul masalah dan/atau melanggar ketertiban umum dan/atau menyentuh kepekaan orang-orang yang beragama Islam di negara-negara tersebut
  20. Islam dan kawalan serta sekatannya dari segi ajaran agama atau keyakinan di kalangan umat Islam adalah urusan di bahagian negeri. Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa atas hal-hal tersebut kecuali di wilayah-wilayah persekutuan
  21. Melalui pengecualian P.U. (A) 134/82 yang membenarkan Alkitab digunakan oleh orang Kristian di gereja-gereja ipso facto (berdasarkan fakta ini) membolehkan penggunaan kalimah “Allah” di penerbitan The Herald
  22. Jemaat Katolik yang berbahasa Malaysia menggunakan kalimah “Allah” untuk beribadah dan doa dan itu dibenarkan dalam Alkitab.

Herald selanjutnya mengajukan bahawa tidak ada pertimbangan faktual yang pernah dibantah atau ditentang oleh Menteri sebagai yang tidak benar. Saya cenderung bersetuju dengan The Herald kerana respon penyangkalan daripada Menteri adalah lemah.

Oleh kerana itu, saya dapati dalam menjalankan tugas untuk memberi persyaratan lanjutan dalam permit penerbitan, Menteri tersebut tidak mengambil kira hal-hal yang relevan. Dengan itu telah melakukan satu kesalahan perundangan dan membolehkan Mahkamah ini campur tangan. Saya berpandangan keputusan Menteri dan Kerajaan terbebut harus dibatalkan.

Tidak mengikut Perlembagaan

Alasan pihak Herald untuk mempunyai hak yang sah dalam menggunakan kalimah “Allah” di The Herald adalah berdasarkan kepada hak-hak perlembagaannya untuk kebebasan bersuara serta mengamalkan kepercayaannya secara aman dan harmoni. Juga untuk mengurus urusan-urusan keagamaan dan untuk mengajar dan mendidik jemaat Katolik dalam agama Kristian, sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 2, 3, 10 11, dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Setiap larangan penggunaan kata ini merupakan pelanggaran serius hak-hak berperlembagaannya.

Tidak masuk akal dan tidak rasional

The Herald juga mengatakan tindakan Menteri dan Kerajaan sebagai tidak masuk akal:

“Sebuah keputusan yang tidak munasabah, di mana tentangan mereka tidak logic dan standard-standard moral yang tidak boleh diterima. Masakan orang yang berakal-budi dan menggunakan fikirannya boleh mencapai keputusan sedemikian.”

“Ini sangat tidak rasional dan tidak berasas untuk Menteri dan Kerajaan untuk tidak melarang jemaat Gereja Katolik menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam ibadah dan pengajaran iman mereka dan di dalam Alkitab. Tetapi perkataan yang sama tidak boleh digunakan dalam The Herald yang berfungsi untuk membantu orang-orang ini dalam ibadah mereka dan menyediakan satu landasan untuk menyebarkan berita dan maklumat.”

“Hal ini juga sangat tidak rasional dan tidak masuk akal untuk menuntut jemaat Katolik berbahasa Malaysia untuk menggunakan perkataan Bahasa yang lain untuk ‘God’.”

Kerajaan menjawab bahawa ia bertindak dalam bidang kuasanya dengan mempertimbangkan status agama Islam di dalam Perlembagaan. Pelbagai undang-undang kawalan dan sekatan adalah untuk penyiaran ajaran agama atau kepercayaan di kalangan umat Islam, dasar kerajaan, keselamatan dan ketenteraman awam, serta kepekaan agama.

Orang akan berfikir bahawa dengan memiliki kebenaran, walaupun dengan sekatan-sekatan biasa (untuk) Gereja Katolik menggunakan kalimah “Allah” untuk beribadah dan dalam Alkitab, maka hanya akan logik dan wajar bagi Kerajaan untuk membolehkan penggunaan kalimah “Allah” di Herald. Sesungguhnya, saya cenderung bersetuju dengan Herald bahawa Menteri dan Kerajaan telah bertindak tidak logik, tidak rasional dan tidak konsisten sehingga tidak ada orang yang sama bila ditaruh dalam keadaan yang sama akan bertindak seperti itu.

Saya mendapati ada kesahihan dalam Herald bila ia berpendapat bahawa jika dilihat dari semua hujah-hujahnya, alasan yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam pelbagai arahan mencabar semua logik dan itu sangat tidak masuk akal.

Perlembagaan dan enekmen-eneknem Negeri

Kerajaan mengatakan mereka harus mempertimbangkan undang-undang untuk mengawal dan menyekat penyebaran ajaran agama atau kepercayaan di kalangan umat Islam di semua negeri kerana undang-undang sah di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Jika Menteri Dalam Negeri membenarkan penggunaan kalimah “Allah”, sekiranya undang-undang seperti itu wujud, maka keputusan akan menjadi tidak sah kerana itu akan bertentangan dengan mereka. Salah satu alasan keputusan ini adalah untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham di kalangan umat Islam kerana tidak ada jaminan bahawa Herald akan hanya beredar di kalangan orang Kristian dan tidak akan jatuh ke tangan Muslim. Apa lagi ianya sekarang sudah ‘online’ dan boleh dijangkau oleh semua.

Kita hidup di dunia teknologi di mana maklumat dapat diakses dengan mudah. Adakah hak-hak yang terjamin harus dikorbankan di atas mezbah kerana Herald sudah ‘online’ dan mudah diakses oleh semua orang? Kita jangan lupa ada sekatan dalam permit penerbitan yang berfungsi sebagai perlindungan tambahan iaitu perkataan “Terhad” (yang) harus dicetak pada halaman depan. Herald adalah dihadkan untuk gereja-gereja dan pengikut agama Kristian sahaja.

Keselamatan dan Ketenteraman Awam

Peguam Kanan Persekutuan mengajukan bahawa alasan keselamatan awam, ketenteraman awam dan kepekaan agama adalah sah, rasional dan masuk akal sehingga Mahkamah tidak mempunyai kedudukan untuk mempersoalkan isu ini dan harus menerima alasan-alasan tersebut.

Sebuah pernyataan oleh Menteri Dalam Negeri bahawa pelaksanaan kuasa diperlukan atas dasar keselamatan nasional tanpa bukti-bukti penyokong tidak cukup dalam undang-undang. The Herald mendakwa bahawa tidak pernah terjadi apa-apa kejadian yang tak diingini selama 14 tahun The Herald menggunakan kalimah “Allah”. Dan ini harus diterima kerana tidak dibantah oleh Kerajaan.

Masalah Perundangan (adakah Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes sebutan)
Saya telah menolak permohonan-permohonan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Johor, Selangor, Kedah, Melaka, Terengganu, dan Persatuan Cina Muslim. Oleh sebab itu dakwaan mereka samada orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah terletak pada kebijaksanaan mutlak Raja-raja Melayu adalah tidak dibenarkan dan tidak relevan pada sidang sebut semula kes ini, dan tidak perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah ini.

Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri jelas menyatakan bahawa Raja-raja Melayu dan Yang Dipertuan Agung sebagai ketua agama Islam di peringkat negeri masing-masing dan Willayah Persekutuan mempunyai bidang kuasa eksklusif hanya dalam urusan agama Islam dan adat-istiadat Melayu sahaja.

Kawalan penerbitan adalah ditetapkan oleh undang-undang persekutuan. Di bawah undang-undang ini, hanya Menteri sahaja yang boleh memutuskan apa yang dibenarkan untuk diterbitkan. Jadi dalam hal ini Raja-raja dan Yang Dipertuan Agung tidak mempunyai peranan apa pun di bawah skim Undang-undang ini.

Sebutan semula kes pengadilan sekarang bukan sebutan ulang keputusan adakah Raja-raja Melayu dan YDP Agung adalah Ketua Agama Islam. Ini hanyalah satu sebutan ulang keputusan yan dibuat oleh Menteri untuk menguatkuasakan larangan penggunaan kalimah Allah oleh Herald. Kerana Raja-raja dan YDP Agung tidak boleh membuat keputusan apa pun berhubungan dengan mana-mana penerbitan, masalah adakah Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes ini tidak muncul.

Kerana Menteri telah mengambil kedudukan bahawa hanya dia yang mempunyai kuasa eksklusif untuk menentukan syarat-syarat dalam permit penerbitan The Herald yang melarang penggunaan kalimah Allah, dakwaan bahawa hanya Raja-raja Melayu dan Yang Dipertuan Agung mempunyai kuasa tersebut telah menjadi satu ejekan/penghinaan tentang kuasa Menteri di bawah undang-undang ini.

Ini adalah satu kesimpulan tidak rasmi dengan penambahan beberapa parafrasa dan penekanan. Kerajaan telah memberi notis untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan. Rencana ini juga diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris.

Creative Commons LicenseUntuk memuat-turun dokumen ini dalam format PDF bagi tujuan pengedaran umum, sila klik sini. Kebenaran diberi untuk menyalin secara menyeluruh tanpa perubahan di bawah Lesen Creative Commons Pengiktirafan-Bukan komersial-Bukan Karya Terbitan 2.5 Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *